Selalunya kita ambil REMEH tentang perlindungan kewangan dan manfaat hibah yang terdapat pada Takaful. Takaful adalah salah satu ikhtiar dan perancangan kewangan dalam kehidupan.

Hibah Takaful adalah bayaran faedah atas kematian peserta Takaful yang diberi terus kepada waris yang dinamakan tanpa perlu difaraidkan.

Undang-undang sudah memberikan kuasa penuh kepada peserta Takaful dalam melantik penama sebagai pemegang amanah, pentadbir atau penerima hibah.

Maka, sebagai waris penerima Hibah Takaful, apa yang waris boleh lakukan dengan Hibah Takaful ?


7 Perkara Yang Waris Boleh Lakukan Dengan Hibah Takaful

1

1. MELUPUSKAN HUTANG

Hutang adalah perkara PERTAMA yang perlu diselesaikan oleh waris sejurus si mati meninggal dunia. Kerana hutang yang tidak dilunaskan boleh menjadi penghalang si mati menuju Syurga.

Sabda Rasulullah S.A.W ;
“Diampuni semua dosa orang yang mati syahid kecuali HUTANG.” (Hadis Riwayat Muslim)

Dalam hadis lainnya ;
“Sesungguhnya Roh orang mukmin itu tergantung dengan sebab hutangnya. Sehinggalah hutangnya dijelaskan.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Tirmizi)

2

2. LAKSANA UPAH HAJI

Waris digalakkan membuat Badal Haji / Upah Haji bagi si mati. Disamping itu, waris juga adalah digalakkan untuk menunaikan haji bagi memenuhi rukun Islam ke-5 bersama-sama kedua-dua orang tua yang masih hidup.

Dari Ibnu Abbas r.a bahawa seorang wanita dari Juhainnah datang kepada Nabi S.A.W dan bertanya,

” Sesungguhnya ibuku nadzar untuk haji, namun belum terlaksana sampai ia meninggal, apakah saya harus melakukan haji untuknya?” Rasulullah SAW menjawab, “Ya, bagaimana pendapatmu kalau ibumu mempunyai hutang, apakah kamu akan membayarnya? Bayarlah hutang Allah, karena hutang Allah lebih berhak untuk dibayar.” (Hadis Riwayat Bukhari)

3

3. MODAL PENGURUSAN HARTA PUSAKA

Waris memerlukan modal bagi menguruskan harta pusaka (perlantikan peguam, kos-kos incidental) dan pengurusan harta pusaka memakan masa yang panjang jika si mati tidak membuat wasiat bertulis.

Jika waris tidak mempunyai modal untuk bayaran pengurusan harta pusaka, tentunya ia akan mendatangkan kesusahan kepada waris dan keadaan menjadi lebih buruk apabila keluarga yang lain bertikam lidah menuntut hak bahagian masing-masing.

(Hibah takaful memastikan waris yang anda namakan menerima jaminan kewangan tanpa perlu difaraidkan)

4

4. SARA DIRI & NAFKAH KELUARGA

Kematian bukan sahaja mendatangkan kehilangan ahli keluarga kepada waris. Malah dalam sesetengah hal, kematian juga beerti terputus segala pendapatan sara diri dan nafkah untuk keluarga yang ditinggalkan.

Hibah Takaful yang diberikan kepada waris boleh memberi jaminan kewangan kepada mereka untuk menyara diri selepas kematian si mati.

Walaupun duit bukanlah segala-galanya untuk mereka setelah kematian si mati, tetapi segala-galanya memerlukan duit.

5

5. PELABURAN UNTUK PENDAPATAN BERTERUSAN

Hibah Takaful dibayar secara LUMP SUM, beerti jika si mati telah menghibahkan RM 1,000,000 pada waris, waris akan menerima hibah tersebut tanpa sekatan mana-mana pihak.

Bagi memastikan pendapatan berterusan untuk ahli keluarga, waris boleh menggunakan wang tersebut untuk pelaburan sebagai contoh membeli hartanah untuk disewakan bagi mendatangkan hasil sewa yang berterusan.

6

6. DANA PENDIDIKAN ANAK-ANAK

Kehidupan anak-anak yang ditinggalkan secara tiba-tiba adalah terjamin dengan adanya dana pendidikan yang boleh digunakan untuk memberi pendidikan yang sempurna kepada mereka.

Penggunaan wang Hibah Takaful adalah luas dan tidak terbatas selagi boleh memberi manfaat kepada waris.

7

7. WAKAF DAN SEDEKAH

Peserta Takaful atau melalui waris boleh membuat amalan Wakaf dan sedekah dengan niat kebaikan agar mendapat amalan kebaikan berterusan di dunia dan akhirat.

Dengan wang Hibah Takaful, tiada halangan untuk melaksanakan wakaf dan sedekah.

Dari Abu Hurairah r.a, ia berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda,

“Jika seseorang meninggal dunia, maka terputuslah amalannya kecuali tiga perkara (yaitu) : Sedekah jariah, Ilmu yang dimanfaatkan dan Doa anak yang soleh.” (Hadis Riwayat Muslim)


Takaful bukan soal ‘mati dapat duit’ semata-mata. Takaful adalah soal perancangan kewangan yang boleh menjadi ikhtiar bagi setiap yang hidup bagi waris-waris yang menjadi tanggungannya.

“Setiap yang bernyawa akan merasai mati dan sesungguhnya pahala kamu akan dibalas pada hari Kiamat.” (Surah Al Imran: Ayat 185)